BAHASA MELAYU PADA PANDANGAN DUNIA
Penulis menemui tiga orang
pekerja rakyat Malaysia di kilang tersebut dan bertanyakan soalan dalam bahasa
Melayu. Setiap kali penulis bertanya dalam bahasa Melayu, dibalas oleh mereka
dalam bahasa Inggeris. Sebanyak tiga
kali penulis bertanya kepada mereka sehinggakan penulis beranggapan betapa
rendahnya martabat bahasa Melayu di hati pekerja-pekerja kilang tersebut. Walhal,
mereka sememangnya memahami soalan penulis. Jika tidak mana mungkin mereka
mampu menjawab dengan baik apa yang ditanya oleh penulis.
Itu kejadian pertama. Kejadian
kedua berlaku pada bekas-bekas pelajar penulis. Ramai di antara mereka
bercita-cita untuk bekerja di syarikat multinasional antarabangsa. Ada di
antara mereka dipanggil temu duga. Sungguh
memeranjatkan, terdapat syarikat minyak antarabangsa yang mengenakan syarat
mahir berbahasa Mandarin untuk diambil bekerja. Sudahlah hanya segelintir orang
Melayu dipanggil temu duga berbanding bukan Melayu, syarat berbahasa Mandarin
pula disebut ketika ditemu duga. Kalau begitu, lebih baik tidak dipanggil temu
duga langsung. Buang masa sahaja! Adakah memanggil orang Melayu untuk ditemu
duga hanya untuk memenuhi syarat kononnya tiada berlaku diskriminasi kaum?
Syarat sebegini wajib dihapuskan.
Pernahkah kita mendengar
syarikat-syarikat Jepun yang beroperasi di Malaysia mengenakan syarat bahasa
Jepun untuk mengambil pekerja Malaysia bekerja dengan mereka? Mohon pihak berkuasa dan barisan kabinet
buatlah sesuatu agar lebih ramai orang Melayu dan bumiputera bekerja di
syarikat-syarikat multinasional tanpa adanya syarat mahir berbahasa Mandarin. Kalau tidak, orang Melayu dan bumiputera hanya
bekerja di jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Bagi
penulis perkara ini amat memalukan. Kita
cuba lihat di negara-negara lain seperti Perancis dan Jepun, hatta jiran kita
Indonesia dan Thailand, rata-rata keseluruhan rakyat mereka menggunakan bahasa
kebangsaan dalam urusan peribadi dan rasmi.
Penulis ingin memberi dua contoh
bagaimana rakyat mereka berbangga dengan bahasa mereka sendiri. Cuba kita
bercakap dalam bahasa Inggeris ketika mula-mula menjejaki bumi Perancis. Percayalah, mereka tidak akan layan kita.
Mereka akan layan sehinggalah kita bercakap dalam bahasa Melayu atau bahasa selain
bahasa Inggeris, barulah mereka mula bercakap dalam bahasa Ingeris. Sebenarnya
mereka mengharapkan kita bercakap dalam Bahasa Perancis. Itu kes pertama, kes kedua berlaku sendiri
pada rakan penulis ketika belajar di United Kingdom. Wajah rakan penulis ini
ada iras-iras orang Jepun, maka, selalu sahaja berlaku kejadian orang Jepun
memarahi beliau.
Puncanya kerana menyangkakan
beliau merupakan orang Jepun, maka soalan-soalan yang diajukan kepada beliau
dalam bahasa Jepun. Apabila setiap kali beliau menjawab dalam bahasa Inggeris
dengan menyatakan bahawa beliau tidak memahami bahasa Jepun, orang Jepun ini
memarahinya dalam bahasa Inggeris bahawa beliau sudah lupa daratan kerana tidak
mahu bercakap dalam bahasa Jepun! Perancis
dan Jepun adalah dua bangsa yang jauh maju ke hadapan berbanding Malaysia
tetapi di hati mereka hanyalah bahasa kebangsaan mereka. Kita pula masih
tercari-cari rentak untuk bergelar negara maju, tetapi sudah mula lupa diri.
Apakah akan terjadi pada tahun
2020 nanti? Adakah ketika itu bahasa Melayu hanya sesuai menjadi tatapan
generasi 2020 sebagai salah satu lipatan sejarah di Muzium Negara? Malaysia tidak akan menjadi negara maju dan
mapan jika rakyatnya sendiri tidak mempunyai jati diri mempertahankan kekuatan
yang ada. Bahasa Melayu adalah salah satu kekuatan yang wajib dipertahankan.
Paling penting bahasa Melayu wajib dimartabatkan sehingga seluruh Malaysia
menggunakannya tanpa rasa segan dan silu.
Mengambil iktibar seorang profesor rakyat Malaysia yang bukan berbangsa
Melayu, bekerja di luar negara berpuluh-puluh tahun lamanya tetapi masih
berbicara dalam bahasa Melayu dengan fasihnya apabila berada di sini.
Kita yang menetap di Malaysia
janganlah sesekali merendahkan bahasa kebangsaan kita sendiri. Tiada gunanya
bahasa Melayu dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan sebagai bahasa
kebangsaan tetapi pengisiannya tidak langsung menggambarkan ia sebagai bahasa
teras rakyat Malaysia. Pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan. Sebagai
permulaan, penulis mencadangkan agar bahasa Melayu diamalkan dan dimartabatkan
dalam segala program transformasi kerajaan (Program Transformasi Kerajaan,
Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi) dan selepas itu
diperluaskan dalam segala urusan kehidupan rakyat Malaysia.
6 comments:
Syabas, perkongsian info yang bermanfaat!^^
Satu paparan dan maklumat yang berguna untuk pengetahuan semua.
Tahniah cikgu...paparan dapat membuka mata pembaca..
Penerangan yang jelas...
Penerangan yang jelas...
Post a Comment