Pages

Thursday 22 November 2012

PASCAMODENISME

PENDIDIK, INOVASI LONJAK HAK CIPTA KEARIFAN TEMPATAN
Pascamodenisme tolak ego Barat

Satu disiplin yang sedang berkembang dan sedang hangat diperkatakan di seluruh dunia ialah ‘kearifan tempatan’ atau di dalam bahasa Inggeris disebut ‘local knowledge’. Disiplin ini mengiktiraf dan meraikan kebijakan tempatan dalam aspek kreativiti, penciptaan, perekayasaan bahan gunaan dan sebagainya, oleh dan untuk penduduk tempatan. Ia dapat disejajarkan dengan semangat pascamodenisme yang menolak wacana hegemonik atau universal – umpamanya yang hanya mengagungkan kearifan atau knowledge yang datang dari Barat atau Eropah semata-mata. Etos kesarjanaan pascamodenisme kelihatan lebih demokratik, dengan mengiktiraf kepelbagaian wacana atau genre dalam kesusasteraan yang tidak semata-mata menggunakan kayu ukur Barat atau Eropah. 

Pascamodenisme juga dikatakan sebagai memberi isyarat keruntuhan segala metanaratif yang bersifat universal yang didukung kewenangan untuk menyaksikan dan menceritakan dari sudut pandang Barat atau Eropah, kepada dunia. Sebaliknya, ia memberi ruang kepada kemajmukan suara yang selama ini berada di ‘pinggiran’, yakni ‘pinggiran’ menurut ukuran Barat atau Eropah. Kemenangan Mo Yan meraih Hadiah Nobel (Kesusasteraan) tahun ini, dengan strategi naratifnya yang tidak setia kepada ukuran Barat atau Eropah, adalah sebersit contoh daripada hakikat pascamodenisme ini. 

Dalam kesusasteraan Melayu, kearifan tempatan terlihat melalui penciptaan peribahasa, pantun, serta karya agung seperti Hikayat Hang Tuah, Sulatus al-Salatin, Hikayat Isma Yatim dan sebagainya. Karya agung ini turut melakarkan kearifan tempatan dalam bentuk kebendaan atau fizikal seperti pembinaan istana, kapal, senjata dan seni taman. Ia juga mengangkat kearifan tempatan yang bukan bersifat kebendaan, umpamanya yang bersifat intelektualisme seperti seni hubungan diplomatik dengan kerajaan China, India dan Romawi. 

Persuratan Melayu juga menerima sumbangan kitab tib atau perubatan tradisional. Dalam hubungan ini ramuan daripada flora tempatan, atau jampi serta mantra, melalui ujian turun temurun, sehingga kemujaraban serta faedahnya dapat dimanfaatkan kepada pesakit atau mereka yang memerlukan sesuatu rawatan zahir dan batin. Semua ini datang daripada kearifan tempatan. 

Dalam kalangan sarjana sastera tempatan, sebahagian daripada mereka tidak mahu terus tunduk menerima teori sastera dari Barat, umpamanya formalisme, strukturalisme, semiotik, dekonstruksi, intertekstualiti, pascamodenisme dan sebagainya. Mereka tidak mahu menjadi pelanggan. Mereka mahu menjadi pencipta. Lalu lahirlah umpamanya Puitika Sastera Melayu oleh Muhammad Haji Salleh, Teori Takmilah (Shafie Abu Bakar), Teori Teksdealisme (Mana Sikana), Teori Konseptual Kata Kunci oleh Mokhtar Abu Hassan dan sebagainya. 

Malaysia dengan iklim tropika yang diwarnai dengan flora serta faunanya, harus memiliki kearifan tempatan dalam subjek yang berkaitan dengan alam ini serta lingkungannya. Jangan sampai sarjana Barat atau Eropah, atau yang disebut sebagai kaum orientalis, yang lebih pakar mengenai alam dan jiwa kita. Sudah sampai masa untuk kita membina kearifan tempatan dalam kalangan sarjana tempatan, yang berpijak pada realiti alam tropika ini dalam pelbagai bidang, yang kreatif mahupun yang saintifik. Umpamanya mengenai hutan hujan tropika, terumbu karang, pertanian, seni tampak, pendidikan, sejarah, bahasa, undang-undang, perubatan, muzik, falsafah, psikologi, sosiologi, teknologi dan pelancongan. 

Segala penemuan, dapatan atau ciptaan oleh tokoh arif tempatan, yang berguna kepada orang ramai, wajar dipatenkan, ditentukan hak cipta serta hak harta inteleknya. Kita tidak mahu pihak lain yang akan menangguk keuntungan, lebih-lebih lagi pihak Barat atau Eropah atau kapitalis yang mempunyai modal besar. 

1 comment:

Unknown said...

Paparan dapat memberikan maklumat semasa kepada semua.