Pages

Friday 30 November 2012

Dunia Pendidikan


Kaedah pendidikan sedia ada perlu perubahan

Dr Rais Yatim memberi cenderamata kepada Kasim Kasuri dalam Persidangan School of Tomorrow 2012 di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
LANGKAH anjakan paradigma yang segera perlu diambil ke atas kaedah pendidikan sedia ada bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global seiring dengan keperluan semasa sistem pembelajaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Beaconhouse, Kasim Kasuri berkata, sistem pendidikan hari ini perlu perubahan khususnya dalam kaedah pembelajaran sepanjang hayat.
“Kita perlu mencipta persekitaran yang mana pelajar menentukan sendiri bentuk pembelajaran yang mereka perlukan dan pada masa yang sama guru memainkan peranan mereka sebagai fasilitator.
“Oleh itu, guru di negara ini perlu mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) mereka ke arah yang lebih kreatif.
“Guru harus melakukan eksplorasi dan mengkaji cara baharu dalam kaedah P&P termasuk mengenal pasti kaedah terbaik bagi pelan masa depan agar ia sesuai dipraktikkan dalam kelas masing-masing," katanya pada persidangan antarabangsa School of Tomorrow anjuran syarikat pendidikan antarabangsa itu di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Persidangan yang masuk empat kali penganjurannya pada tahun ini dan yang pertama diadakan di Malaysia itu disempurnakan perasmian majlis penutupnya oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Peserta persidangan seramai 600 orang terdiri daripada pensyarah dan guru termasuk 20 pembentang kertas kerja dari United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Rangkaian Beaconshouse School System meliputi lapan negara iaitu United Kingdom, Malaysia, Oman, Emiriyah Arab Bersatu, Pakistan, Bangladesh, Filipina dan Thailand.
Menurut Kasim, persidangan bertemakan Memperkasakan Pembelajaran Sepanjang Hayat itu turut memfokuskan model pembangunan profesional dan kesan pelaksanaan kaedah tersebut dalam bilik darjah serta peranan pihak pentadbiran sekolah dalam melaksanakan kaedah serta teknik pembelajaran itu di sekolah nanti.
“Kita mahu mencabar dan menggoncang tahap pemikiran para pendidik hari ini termasuk mereka yang dalam kalangan pakar akademik serta profesor agar mengubah pemikiran mereka kepada kaedah masa depan.
“Kita sasarkan matlamat mencari kaedah dan cara terbaik untuk mewujudkan usaha memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat dan seterusnya keperluannya pada masa depan," katanya.
Sementara itu, Rais berkata, sistem pembelajaran di negara ini perlu mengekalkan nilai-nilai ketimuran sedia ada tanpa perlu menceduk sepenuhnya sistem dari negara Barat.
Menurutnya, kebudayaan masyarakat Asia perlu dipelihara dan dikekalkan hingga sepanjang hayat walaupun sistem sedia ada telah diserapkan dengan pendidikan Barat.
“Kita berharap kemahiran berfikir dan menganalisis sesuatu perkara turut ada dalam setiap pelajar, tidak hanya wujud untuk mengisi kotak dengan tanda pangkah atau betul.
“Kita mesti mewujudkan kepandaian dan kepakaran di dunia sebelah sini, satu hari nanti mesti sama atau lagi hebat berbanding Universiti Harvard, Cambridge serta Oxford, kita tidak seharusnya menjadi ‘pak turut’ kepada sistem yang kononnya sampai bila-bila akan menentukan masa depan manusia," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121126/pe_02/Kaedah-pendidikan-sedia-ada-perlu-perubahan#ixzz2DeyGNCcJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

3 comments:

Unknown said...

maklumat yang jelas.

Unknown said...

satu info berguna untuk para guru..

Unknown said...

Baik, satu maklumat yang sesuai.